Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pada kebiasaannya pegawai kanan hanya akan dipanggil selepas semua yang disyaki terlibat selesai memberikan keterangan.

"Itu merupakan proses biasa, dan selepas kita mengumpulkan bukti serta mendapat pengesahan berhubung beberapa perkara, kalau ada keperluan kita akan panggil pegawai kanan terbabit," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pertandingan Menembak Unit Komunikasi Korporat Agensi Penguat Kuasa di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Azam berkata, kesemua 22 kakitangan JPJ Pulau Pinang yang dikehendaki memberikan keterangan pada hari ini telah diberikan notis.

"Sepatutnya lebih daripada 22 yang dipanggil, namun SPRM negeri mempunyai kekangan dari segi penyediaan bilik dan juga pegawai penyiasat, jadi yang selebihnya kita akan panggil kemudian," ujarnya.

Semalam, media melaporkan SPRM dijangka memanggil lebih 20 lagi pegawai penguat kuasa dari JPJ Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu lori hari ini.

Azam ketika dihubungi berkata, mereka akan dipanggil untuk memberikan keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang.

Sementara itu, Azam turut mengesahkan antara bentuk hiburan yang 'dinikmati' menggunakan habuan rasuah tersebut adalah berjudi, bermain golf serta berhibur di pusat-pusat hiburan.

"Kalau mereka mahu berhibur sebegitu dengan menggunakan duit sendiri kami tak ada masalah pun, tapi sekarang mereka gunakan wang hasil rasuah untuk menutupi kesalahan sesuatu pihak menggunakan kuasa yang mereka ada.

"Jadi kita mesti siasat, dan buat masa ini, kita tumpu pada Pulau Pinang dahulu, negeri lain saya tak mahu ulas lagi," jelasnya. - UTUSAN ONLINE