Khairul Ezuwan Yusoff yang menggelarkan dirinya sebagai aktivis menentang penipuan berkata, tindakan itu terpaksa dilakukan kerana pihak tidak bertanggungjawab itu sanggup mempergunakan agama bagi meyakinkan bakal mangsa.

“Saya tidak sampai hati apabila kaum sendiri ditipu oleh penipu licik yang menjalankan kegiatan terbaharu di Masjid Puncak Alam.

“Menjadikan masjid sebagai markas, tidak keterlaluan jika dikatakan mereka ini sebagai penunggang agama,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Video Khairul Ezuwan ‘menerjah’ pihak tidak bertanggungjawab itu tular di media sosial baru-baru ini. Video dua bahagian yang masing-masing berdurasi 10 minit 37 saat dan 13 minit 17 saat telah ditonton lebih 170,000 pelayar setakat ini.

Selain bersemuka dengan pihak tidak bertanggungjawab itu, Khairul Ezuwan dilaporkan bersama penduduk setempat telah mengambil inisiatif menanggalkan kain rentang mempromosi skim perumahan meragukan itu yang banyak digantung di sekitar Bandar Puncak Alam dan kawasan sekitarnya.


Video ihsan Facebook/Khairul Ezuwan

Khairul Ezuwan mendakwa, pihak terbabit merupakan kumpulan sama yang terlibat dengan kegiatan menipu lebih 300 orang membabitkan nilai kerugian RM20 juta beberapa tahun lalu.

Tambahnya, selepas percubaan di Puncak Alam digagalkan, pihak tidak bertanggungjawab berkenaan kini mencari mangsa terbaharu di sekitar Gombak. - UTUSAN ONLINE