SHAHRULANUAR MUSHADDAT ABDULLAH
SHAHRULANUAR MUSHADDAT ABDULLAH 

Video kejadian yang dipercayai berlaku pada 9.51 pagi berdurasi selama tiga minit menunjukkan dua suspek yang diikat tangan dan duduk di jalan raya dibaling telur oleh peniaga di situ serta orang awam tular dalam media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superitenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 50-an kini direman selama tiga hari sehingga esok.

Menurutnya, kejadian itu bermula apabila tiga wanita rakyat China yang berada di pasar pagi cuba melarikan diri selepas kehadiran mereka disedari peniaga serta seorang mangsa yang pernah ditipu bertindak cuba menahan suspek untuk diserahkan kepada polis.

“Semasa cuba melarikan diri, dua suspek tanpa pengenalan diri telah terjatuh, mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan badan dipercayai akibat dipukul beberapa orang awam berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek dapat melarikan diri.

“Dua suspek itu telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan dan kini mereka ditahan reman ,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan polis mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, dua suspek serta rakan yang berjaya melarikan diri telah menawarkan sejenis ubat yang dipercayai boleh menolak bala kepada seorang wanita tempatan berusia 63 tahun pada 27 April lalu 7.30 pagi.

Menurutnya, mengikut laporan, salah seorang suspek telah memegang belakang badan mangsa dan tiba-tiba wanita tempatan itu pening, menyebabkan dia mengikut sahaja arahan suspek iaitu pulang ke rumah untuk mengambil barang kemas serta duit bagi tujuan sembahyang tolak bala.

“Barang kemas dan duit diserahkan kepada suspek sebelum dimasukkan ke dalam satu beg plastik dan diserahkan kepada mangsa. Wanita tempatan itu hanya dibenarkan membuka beg itu selepas 2 minggu kononnya baru mendatangkan kesan sebagai syarat dalam sembahyang tolak bala.

“Selepas dua minggu, mangsa membuka beg plastik dan mendapati barang kemas serta wang tunai tiada di dalamnya yang ada hanyalah dua botol mineral,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang sedar diri ditipu telah menceritakan kejadian itu kepada rakan dan para peniaga di kawasan pasar pagi dan laporan polis hanya dibuat selepas insiden yang berlaku kelmarin. - UTUSAN ONLINE