Dalam serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kira-kira pukul 9.30 malam itu, sebanyak 114 warga China turut ditahan dipercayai berfungsi sebagai operator kegiatan tersebut.

Ketua Operasi, Asisten Komisioner Hamzah Buman berkata, pihaknya menyasarkan 10 unit di kondominium itu, namun hanya berjaya menyerbu tujuh daripadanya.

“Kesemua unit kondominium ini terletak di tingkat yang berbeza, dan dalam satu daripada serbuan tersebut, kita turut menahan enam lelaki yang sedang berjudi serta merampas wang tunai sebanyak RM44,000.

“Dalam serbuan itu juga kita merampas sebanyak 63 komputer, 232 telefon bimbit, 12 modem, enam router dan enam buku catitan perjudian,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Hamzah berkata semua yang ditahan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41c Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - UTUSAN ONLINE