Operasi yang bermula pada pukul 12.45 hingga 4 pagi itu turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Azis Jamman dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Melalui operasi pertama di Kampung Gentisan, sebanyak 363 individu diperiksa dan 50 daripadanya ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen manakala di Kampung Baru, 28 orang ditahan daripada 277 yang diperiksa.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Azis berkata, Op Mega 3.0 akan terus dijalankan di seluruh negara untuk memastikan hasrat kerajaan membanteras PATI secara habis-habisan dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Hari ini saya bersama anggota jabatan turut melakukan operasi di Sepanggar iaitu kawasan saya sebagai Ahli Parlimen kerana kita mahu masalah PATI diselesaikan.

“Kalau mereka masuk ke negara ini secara haram kita akan tangkap kesemuanya dan usir mereka keluar dari negara ini,” katanya.

Sementara itu, Mustafar berkata, sejak operasi membanteras PATI dimulakan awal tahun ini, sebanyak 30,000 berjaya ditahan manakala kira-kira 1,000 majikan yang menggunakan khidmat PATI turut ditangkap.

Katanya, pihak berkuasa telah memberi peluang kepada para majikan dan PATI untuk menyerah diri dalam Program Serah Diri Sukarela atau 3+1 sehingga 30 Ogos lalu, justeru kini masanya untuk memburu golongan yang ingkar.

“Kita lihat masih banyak pendatang haram ini yang berkeliaran di seluruh negara, justeru operasi akan diteruskan bukan sahaja untuk menangkap mereka tetapi objektif utamanya adalah menjaga keselamatan negara.

“Ini kerana mereka tinggal di tempat-tempat yang kotor, maka kita tidak boleh berkompromi kerana mereka boleh menyebar penyakit dan menyebabkan penularan penyakit berjangkit,” katanya.

Sementara itu tambahnya, sejak Januari lalu, sebanyak 1,010 operasi telah dilakukan di seluruh Sabah yang membawa kepada penahanan 3,309 PATI dan 44 majikan. - UTUSAN ONLINE

Video oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN