Bagaimanapun, lelaki berusia 20-an berkenaan yang pada mulanya enggan turun akhirnya mengalah dan menyerah diri selepas dipujuk oleh ibunya yang tinggal bersebelahan rumahnya.

Malah, anggota AADK juga terpaksa meminta bantuan bomba dari balai Kuala Muda untuk membawa turun lelaki berkenaan selepas hampir setengah jam berada di atas bumbung berkenaan.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4 pagi tadi ketika pegawai AADK itu dengan dibantu sepasukan polis menyerbu rumah berkenaan yang dijadikan ‘port’ menagih dadah sekumpulan lelaki yang kebanyakannya nelayan.

Menurut Penolong Pengarah (Kanan) Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Pulau Pinang, Ibrahim Muhamad Said berkata, lelaki berkenaan merupakan antara 15 penagih dadah yang ditahan dalam operasi di sekitar daerah ini bermula pukul 8 malam tadi hingga 8 pagi ini.

Tambahnya, kesemua ditahan berumur sehingga 40 tahun termasuk seorang remaja berusia bawah 18 tahun yang kesemuanya positif dadah.

“Bagaimanapun, kita tidak menjumpai sebarang dadah yang dimiliki oleh mana-mana suspek yang ditahan dalam operasi ini.

“Kesemua mereka kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, pihaknya dengan bantuan pihak berkuasa lain akan secara agresif melakukan operasi bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat mengenai aktiviti berkenaan khususnya yang berlaku dalam komuniti mereka kepada AADK atau mana-mana pihak berkuasa berkaitan. - UTUSAN ONLINE