Dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu, pusat hiburan yang baru sahaja diserbu dua hari lepas oleh Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Daerah Serdang sekali lagi diserbu kali ini oleh pasukan D7 Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya mendapat aduan mengatakan pusat hiburan tersebut masih beroperasi walaupun baru diserbu.

"Hari ini kita dapat tahan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dipercayai pengurus pusat hiburan berkenaan.

"Selain itu, seorang wanita warga Vietnam yang mengandung dipercayai 'mommy' yang bertugas memperkenalkan pelayan kepada pelanggan turut dicekup," katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Mohd. Khaizam, selain dua individu terbabit, turut ditahan adalah 16 wanita warga Vietnam dipercayai GRO serta tiga lelaki Myanmar yang bekerja di pusat hiburan berkenaan.

"Mereka dipercayai telah beroperasi selama lima tahun dengan menggunakan lesen perniagaan yang didaftarkan atas nama lain.

"Semua yang ditahan akan dibawa ke IPD Serdang untuk siasatan lanjut," ujarnya. - UTUSAN ONLINE