Dua daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengugut manakala seorang lagi ditahan di bawah Akta Hasu­tan 1948 kerana melakukan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, lelaki dikenali dengan nama Michael Cheah, 45, yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong menerusi komen dalam laman media sosial Facebook ditahan di rumahnya di sini kira-kira pukul 8.30 pagi ini.

“Memandangkan laporan per­tama dibuat di Temerloh dekat sini, kita membantu mengesan dan menahannya sebelum diserahkan kepada ibu pejabat polis daerah tersebut.

“Penahanan dua lelaki berusia 32 tahun dan 36 tahun pula dibuat selepas Michael Cheah membuat laporan malam tadi. Dia mendakwa terdapat beberapa lelaki ke kedainya memaki hamun dan mengajaknya bergaduh,” katanya hari ini.

Semalam, tular dalam media sosial klip video berdurasi 1.37 minit menunjukkan dua individu bertikam lidah dengan seorang lelaki di hadapan sebuah kedai di sini yang didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong dalam Facebook miliknya.

Dalam pada itu di Jerantut, semakin banyak gesaan yang menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Facebook menggunakan nama Desmond Yongkor atau mana-mana pengguna laman media sosial yang menghina Yang di-Pertuan A­gong Ke-16.

Terbaharu, laporan polis dibuat di IPD di sini hari ini oleh UMNO Bahagian Jerantut bersama tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah termasuk Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Persatuan Guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jerantut.

Terdahulu, laporan polis turut dibuat oleh UMNO Bahagian Cameron Highlands dan NGO-NGO di kawasan Jelai di Balai Polis Sungai Koyan, dekat sini malam tadi yang diketuai Setiausaha Kerja UMNO Bahagian berkenaan, Norzalina Mohamad Nor.