Kejadian difahamkan berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari dan berlarutan selama beberapa jam sebelum suspek ditembak mati oleh anggota polis kira-kira pukul 5.35 petang selepas cuba mencampak mangsa tebusan dari tingkat empat ba­ngunan pangsapuri tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, suspek pada mulanya pergi ke sebuah gerai di tingkat empat untuk membeli sesuatu sebelum secara tiba-tiba dia mengeluarkan pisau dan menangkap salah seorang budak di luar gerai tersebut.

“Lelaki itu kemudian telah membawa tebusan dan menendang pintu sebuah rumah berdekatan serta mengarahkan pemilik rumah tersebut yang sedang bersembahyang untuk keluar,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Omar, pihaknya te­lah cuba berunding dengan suspek yang menyorok di bahagian dapur untuk melepaskan tebusan namun lelaki itu enggan berbuat demikian sambil mengacu pisau ke leher tebusan.

Jelas beliau, selepas berun­ding selama beberapa jam, lelaki berke­naan secara tiba-tiba cuba membuang tebusan keluar dari tingkap di tingkat empat dan polis telah bertindak melepaskan beberapa das tembakan terhadap suspek.

“Selepas ditembak, suspek telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala kanak-kanak itu pula mengalami kecederaan luka di bahagian leher akibat diacu pisau dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Tambah beliau, kes kini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.