Kehilangan wanita berusia 44 tahun itu merupakan berita buruk buat keluarganya yang hanya mengetahui mangsa masih hidup apabila dihubungi penjenayah selepas dua minggu dilarikan.

Kumpulan penjenayah itu me­nuntut wang tebusan yang tinggi bernilai jutaan ringgit untuk melepaskan mangsa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, Jabatan Siasatan Jenayah mula menjalankan siasatan dengan kerjasama pihak berkuasa Singapura dan Indonesia setelah dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi itu.


Video oleh NUR AISYAH MAZALAN

Beliau berkata, hasil siasatan polis berjaya menyelamatkan mang­sa yang disembunyikan di Batam dalam keadaan sihat dan disatukan dengan keluarganya pada petang semalam.

“Selepas 27 hari diculik, mang­sa akhirnya berjaya diselamatkan tanpa alami sebarang kece­deraan petang semalam. Polis turut menahan 12 individu yang dipercayai terlibat di negeri ini dan enam lagi di Batam berusia lingkungan 18 hingga 50-an.

“Penculik ada meminta wang tebusan tetapi saya tidak mahu mendedahkannya dan ia membabitkan jumlah yang amat besar. Hasil kerjasama pihak keluarga yang tidak menghebahkan perkara ini, kes dapat diselesaikan de­ngan usaha sama pihak polis Si­ngapura dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian sele­pas menghadiri Mesyuarat Pe­nam­bahbaikan dan Peluasan Sistem Pusat Unit Risikan Jenayah, di sini hari ini.

Jelasnya, polis juga sedang ber­bincang dengan pihak peguam negara untuk menguruskan suspek yang ditahan oleh pihak Indonesia di Batam semalam.

Ditanya mengenai pembabitan pembantu rumah mangsa dalam penculikan itu, beliau enggan mengulas lanjut dan siasatan lanjut akan dilakukan pihak polis.

“Kita jangan buat spekulasi, biar­lah polis menjalankan siasatan. Kesemua suspek yang terdiri daripada warga tempatan dan warga Indonesia akan direman selama tujuh hari mulai hari ini dan sekiranya kes tak selesai, kita akan minta sambung reman,” kata­nya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jena­yah negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, seorang lelaki warganegara Indonesia disyaki dalang utama kes culik itu ditahan di Plaza Tol Yong Peng, kira-kira 5.30 petang ini.

Lelaki berusia 39 tahun yang cuba melarikan diri menaiki sebuah teksi itu ditahan sepasukan anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) Bukit Aman. Polis turut me­nemukan sepucuk pistol semi auto berserta 23 butir peluru kaliber 380.

Dalam pada itu, portal berita Indonesia, Detikcom turut melaporkan penahanan dalang utama terbabit beserta gambarnya. Suspek dikenali sebagai Arlando atau Wak Lan.