Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, dalam operasi besar-besaran membanteras penyalahgunaan dadah itu, pihaknya merampas lebih 16 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis serta 10kg daun ketum.

Menurut beliau, sepanjang tempoh itu, pihaknya turut merampas hampir 13,000 biji pil ektasi dan erimin 5 serta 2.3 liter cecair kodein dan 21 liter air ketum.

Tambahnya, dari segi tangkapan pula, seramai 28 orang daripada keseluruhan yang ditahan merupakan orang yang dikehendaki; pengedar dadah (48); memiliki dadah (189); positif dadah (308) serta 11 tangkapan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kata beliau, dalam usaha memerangi jenayah dadah secara agresif, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri telah melancarkan talian hotline iaitu 012-2087222 yang beroperasi selama 24 jam.

"Sehubungan itu, kita mengharapkan kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah di lokasi mereka supaya tindakan segera dapat diambil oleh pihak polis.

"Mereka boleh menghantar maklumat seperti gambar serta lokasi kegiatan itu sama ada menerusi aplikasi WhatApps atau membuat panggilan terus di talian tersebut," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat polis kontinjen negeri (IPK), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Roslee tidak menolak negeri ini merupakan antara pusat aktiviti pengedaran dadah terbesar berdasarkan nilai rampasan dan tangkapan yang dilakukan tahun ini serta tahun-tahun sebelum ini.

Sebagai contoh, kata beliau, sejak Januari hingga 3 Ogos lalu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat kira-kira 40kg dengan nilai rampasan lebih RM10 juta.

Selain itu, tambahnya, sepanjang tempoh itu juga, seramai 8,112 individu ditahan berkait kesalahan dadah dengan 7,840 orang merupakan warga tempatan manakala 272 warga asing.

"Kita juga telah menyerbu dan melumpuhkan empat makmal memproses dadah; sebuah stor menyimpan dadah dan dua premis memproses serbuk minuman mengandungi dadah jenis MDMA sejak awal tahun ini hingga bulan ini," katanya. - UTUSAN ONLINE