Kelima-lima suspek yang berusia antara 24 hingga 27 tahun itu dipercayai menghasilkan sendiri biskut ganja berkenaan di kediaman salah seorang suspek yang terletak di sekitar Bukit Antarabangsa.

Difahamkan, kegiatan yang aktif sejak beberapa ming­gu lalu itu adalah untuk pasaran tempatan, namun kesemua suspek didapati terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengeda­ran dadah sejak dua tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya me­nyerbu kediaman berkenaan kira-kira pukul 9 malam dan menahan lima lelaki termasuk seorang warga asing berusia 24 tahun.

Ujarnya, pemeriksaan dalam rumah berkenaan menemukan empat ketulan mampat disyaki ganja seberat 733 gram (g), tiga keping biskut mengandungi ganja seberat 198g dan sebuah bekas berisi serbuk dadah itu yang dianggarkan seberat tiga gram.

“Susulan itu, polis dibawa ke sebuah lagi rumah yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi suspek ditahan dan pemeriksaan lanjut menemukan 34 ke­ping biskut mengandungi ganja seberat 215g dan 1/2 keping biskut ganja 29g. Kesemua rampasan itu dianggarkan bernilai RM7,470.

“Hasil saringan air ken­cing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis ganja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini hari ini.

Menurut Hamzah, kesemua suspek direman sehingga 25 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, penghasilan biskut menggunakan ganja merupakan modus operandi terbaru yang digunakan suspek bagi mengaburi mata pihak berkuasa.