Keempat-empat suspek yang berusia lingkungan 17 hingga 23 tahun itu dicekup dalam serbuan berasingan di rumah mereka dan sekitar daerah ini bermula pukul 4.30 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, tiga daripada suspek terbabit didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Dash dan dua topi keledar yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.

“Tangkapan pertama dan kedua dibuat di rumah masing-masing dan tidak sampai 30 minit kemudian, dua lagi suspek berjaya dicekup di kawasan sekitar Tongkang Yard, di sini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 8.30 pagi, mangsa, Choo Tar Cheang, 66, sedang mengayuh basikal sebelum dihampiri oleh dua motosikal sebelum seorang daripada suspek merentap beg sandangnya.

Mangsa yang kerugian RM300 turut cedera di bahagian lengan dan kaki akibat diseret beberapa meter sehingga seluarnya tertanggal. Dia yang mengalami kecederaan kemudian membuat laporan polis.

Kejadian tersebut turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dari dua buah rumah berdekatan.

Sementara itu, Mohd. Rozi berkata, keempat-empat suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE