Turut direman selama empat hari ialah tiga individu yang berperanan sebagai orang tengah atau ‘runner’, sementara itu, empat pemilik pusat urut pula direman selama lima hari bermula hari ini bagi siasatan berhubung kes yang sama.

Perintah reman terhadap 14 suspek yang berumur di antara 29 hingga 54 tahun itu keluarkan Majistret Ahmad Asyraf Mohammad Kamal selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, suspek berkenaan dibawa secara berasingan ke Mahkamah Majistret di sini iaitu empat suspek dibawa dengan menaiki van pada pukul 9 pagi dan 10 lagi suspek dibawa dengan menaiki bas pada pukul 10 pagi.

Difahamkan, tujuh penjawat awam itu terdiri daripada seorang pegawai dan dua anggota polis, tiga kakitangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

SEBANYAK 14 individu termasuk tujuh penjawat awam direman bermula hari ini
SEBANYAK 14 individu termasuk tujuh penjawat awam direman bermula hari ini 

Semalam, semua individu terbabit ditahan di 14 lokasi sekitar Lembah Klang kira-kira pukul 10 pagi hingga pukul 5 petang, penahanan itu merupakan hasil daripada risikan yang dilakukan sejak tiga bulan lalu.

Menurut sumber, dalam serbuan oleh 40 pegawai SPRM itu, tujuh penjawat awam dan tujuh orang awam ditahan selepas dipercayai terbabit melindungi dan menerima wang sogokan daripada pemilik pusat urut.

Katanya, wang sogokan yang diterima oleh semua suspek terbabit adalah secara bulanan dengan bayaran minimum RM1,000 diterima setiap bulan.

“Wang sogokan berkenaan sebagai perlindungan premis, ada perantara (orang awam) yang akan mengutip wang berkenaan setiap bulan sebelum diserahkan kepada suspek,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi semalam mengesahkan tangkapan itu dan memberitahu semua suspek ditahan di SPRM Putrajaya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM 2009,” katanya. - UTUSAN ONLINE