Kejayaan tersebut hanya berselang beberapa hari selepas polis negeri ini menumpaskan sindiket dadah dengan merampas 427,600 pil kuda bernilai RM8.55 juta di Butterworth dan Seberang Perai di sini, Selasa lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Salleh berkata, dalam operasi terbaharu kira-kira pukul 3 petang Jumaat lalu itu, dadah jenis syabu itu dipercayai cuba dipindahkan dari dalam sebuah lori ke sebuah rumah kedai yang dijadikan setor di Jelutong di sini.

Ekoran itu, ujar beliau, polis menahan seorang lelaki Cina berusia lewat 40-an yang juga pemandu lori berkenaan dipercayai anggota sindiket terbabit.

“Syabu tersebut dibungkus da­lam pek teh Cina dianggarkan seberat satu kilogram setiap satu dan dimuatkan sebanyak 52 guni.

“Kita percaya syabu ini dibawa dari negara jiran sejak dua ming­gu lalu dan menunggu untuk diedarkan bagi pasaran tempatan serta antarabangsa iaitu jika terlepas boleh digunakan kira-kira 5.3 juta penagih,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan.

Menurut Mohamad, polis kini giat memburu saki-baki sindiket terbabit dan saringan awal mendapati satu-satunya suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod berkaitan jenayah atau dadah.

Tambah beliau, polis turut menyita sebuah lori satu tan dan sebuah kereta jenis Perodua MyVi bernilai RM14,000 yang digunakan untuk memunggah dadah berkenaan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ditanya sama ada rampasan dadah terbaharu itu membabitkan sindiket sama yang sebelum ini turut cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan menyorokkan dadah di dalam pek teh Cina, Mohamad menegaskan rampasan tersebut melibatkan sindiket berbeza.