Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Najmuddin Mohd berkata, meskipun pihaknya telah membuat kenyataan media untuk mendapatkan kerjasama orang ramai mahupun Muhammad Riduan untuk tampil, namun usaha itu masih gagal.

Ujarnya, sehubungan itu, pihak polis telah memaklumkan kepada peguam yang mewakili bekas isterinya mengenai langkah yang diambil pihaknya dalam usaha mengesan Muhammad Riduan dan anak mereka.

“Justeru itu, kita memohon sekali lagi kerjasama orang ramai, mereka yang mempunyai maklumat mengenai Muhammad Riduan untuk tampil bagi menyelesaikan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Indira Gandhi adalah terbatal dan tidak sah dan memerlukan persetujuan kedua ibu bapa bagi penukaran agama anak kepada Islam.

Pertimbangan utama mahkamah ialah untuk melindungi kebajikan kanak-kanak dan dengan berbuat demikian, mahkamah tidak membuat penghakiman berdasarkan prinsip kepercayaan mana-mana pasangan.

Susulan itu, Indira Gandhi mengeluarkan kenyataan memberitahu bahawa pihak polis tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak mencari dan menangkap bekas suami yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan mereka kepadanya. - UTUSAN ONLINE