Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, berdasarkan maklumat, mangsa, Nikitin Aleksis Elis Valtteri, 20, tiba di Pulau Tioman seorang diri pada Isnin lalu sebelum menum­­pang di sebuah rumah penduduk tempatan di Kampung Paya.

NIKITIN ALEKSIS ELIS VALTTERI
NIKITIN ALEKSIS ELIS VALTTERI 

“Mangsa dipercayai pergi ke Air Terjun Kampung Asah, Mukut di Pulau Tioman sendirian pada Selasa lalu sebelum dilaporkan tidak pulang.

“Usaha mencari telah dige­rakkan sejak semalam selepas menerima laporan polis daripada seorang lelaki yang me­ngenali mangsa dan sedang dipergiat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd. Sani Harul berkata, seramai 17 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pelancong itu.

Ujarnya, SAR turut dibantu lapan anggota polis dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pencarian dilakukan di kawasan Kampung Genting, kawasan air terjun Motherwillow laluan ke Gunung Kajang iaitu kawasan di tengah pulau kira-kira tiga kilometer dari Kampung Paya.

‘‘SAR turut membabitkan unit K9 bomba dan polis,” katanya.