MUHAMMAD ADIB MOHD. KASSIM

Lantaran itu, Presiden Ummah, Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya bercadang untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung isu inkues Muhammad Adib.

“Kita juga merancang untuk menghantar memorandum yang sama kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selain laporan polis yang akan dibuat oleh seluruh wakil Ummah di seluruh negara untuk mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas meletak jawatan.

“Usaha kita tidak akan terhenti setakat itu sahaja kerana kita juga merancang untuk mengadakan solat hajat supaya keadilan terhadap kes sebenar dapat dibuktikan. Jadi, kita akan minta semua wakil (Ummah) mengadakan solat tersebut di semua masjid dan surau di seluruh negara pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 31 Mei lalu, Ummah menyerahkan memorandum ke pejabat peguam negara untuk mendesak Tommy meletak jawatan kerana didakwa cuba campur tangan dalam inkues kematian Muhammad Adib.

Minggu lalu pula, peguam, Syazlin Mansor mengubah pendirian beliau dengan me­ngumumkan akan terus mewakili keluarga anggota bomba tersebut dalam prosiding inkues kematian mangsa.

Dalam pada itu, Aminuddin berharap, Tommy tidak campur tangan dalam prosiding kes tersebut yang masih berjalan.

“Kita minta beliau tidak campur tangan kerana dikhuatiri keputusan kes itu akan menjadi tidak telus dan berat sebelah.

“Malah kita juga sangat berterima kasih kepada Syaz­lin yang bersetuju semula mewakili keluarga anggota bomba itu. Dengan cara ini, kita sangat berharap agar cerita sebenar dapat diketahui,” jelasnya.