Itu yang boleh digambarkan menerusi aksi dua kanak-kanak yang meniarap sambil berpaut di belakang sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai sedang bergerak di sekitar Pasir Gudang.

Video memaparkan aksi dua kanak-kanak terbabit tular dalam laman sosial Facebook Komuniti Taman Scientex sebelum netizen menerusi akaun Minnaz Brownies membuat laporan berhubung kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Suprintenden Ismail Dollah berkata, polis sedang mengesan kanak-kanak terbabit dan pemandu kereta berkenaan sejurus menerima maklumat berhubung penularan video itu pada 12.43 tengah malam tadi.

“Menerusi video terbabit, kita dapati perbuatan duduk di atas bonet belakang ketika kenderaan terbabit sedang bergerak dan melanggar isyarat lampu merah boleh membahayakan keselamatan diri dan orang lain.

“Kejadian itu dipercayai berlaku di kawasan Pasir Gudang dan polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti pemilik serta pemandu kenderaan selain kanak-kanak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu pejabay Polis Daerah (IPD) Seri Alam di talian 07-386 4222 untuk membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE