Dalam operasi kira-kira pukul 10.20 malam itu, wanita berkenaan serta pelanggannya seorang lelaki tempatan yang kedua-duanya dalam keadaan berbogel tidak menyedari kehadiran penguat kuasa imigresen ketika pemeriksaan dilakukan di premis berkenaan.

Menurut Pengarah Imigresen negeri, Muhamad Husni Mahmud, wanita berusia 30-an itu antara 14 warga asing yang ditahan dalam serbuan pihaknya yang terdiri daripada 19 anggota dan pegawai di sembilan lokasi di sekitar Georgetown.

Katanya, wanita Thailand itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat-syarat pas, manakala pelanggan lelaki berkenaan diarahkan hadir ke pejabat imigresen untuk diambil kenyataan.

"Selain itu, dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Sungai Pinang pula, seramai lima gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam dan Thailand ditahan kerana disyaki melanggar syarat-syarat pas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Muhamad Husni berkata, dalam operasi berasingan di beberapa buah restoran pula, pihaknya berjaya menahan dua lelaki warga India dan seorang lelaki warga Thailand yang melakukan kesalahan imigresen.

"Kita turut menahan seramai lima lelaki warga Bangladesh dalam operasi di tapak pelupusan sampah di Hilir Sungai Kluang.

"Mereka kemudiannya ditahan di Depot Imigresen di Juru bagi tindakan lanjut," katanya.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. - UTUSAN ONLINE