Detik cemas itu berjaya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) serta tular di media sosial dan usaha menjejaki mereka giat dilakukan.

Ketika kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa seorang lelaki berusia 30-an yang mahu keluar dari rumah dengan menaiki sebuah kereta didatangi tujuh suspek lelaki bermotosikal menyerbu masuk ke perkarangan rumahnya.

Difahamkan tindakan pantas mangsa yang masuk ke dalam rumah dan menutup pintu berjaya menyelamatkan anggota keluarganya yang berada di dalam rumah waktu itu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, mangsa yang menyedari kehadiran suspek dari luar rumah melarikan diri masuk ke dalam dan bertindak menutup dan mengunci pintu kayu hadapan rumah.

“Mangsa dapati kira-kira empat buah motosikal dan nombor pendaftaran tidak pasti dinaiki tujuh lelaki yang sebelum itu dipercayai berlegar di sekitar kawasan berkenaan.

“Tiba-tiba dua daripada tujuh suspek berlari ke arah mangsa dan terus masuk ke kawasan tempat letak kereta dengan membawa sebilah parang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismadi memberitahu, kedua-dua lelaki itu bertindak menendang dan menetak pintu kayu menggunakan parang yang kemudian memecahkan cermin rumah serta membocorkan tayar kereta mangsa jenis Suzuki Swift sebelum melarikan diri.

Tambah Ismadi, siasatan lanjut sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis kini sedang melakukan semakan bagi mengenalpasti dan mengesan suspek,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE