Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, suspek terbabit ditahan di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai sarang penagihan dadah di sekitar daerah ini.

Katanya, antara lokasi yang diserbu ialah Bukit Malut, Taman Nilam, Padang Matsirat dan Taman Desa Kemboja.

“Operasi yang bermula pada Isnin lalu juga berjaya merampas kira-kira tiga kilogram dadah disyaki heroin dan syabu bernilai RM 121,800,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek diberkas di bawah empat seksyen melibatkan tujuh tangkapan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dua tangkapan di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952.

“Selain itu, 10 suspek ditahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 manakala Seksyen 15(1) ADB 1982 ( sembilan orang),” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam menangani masalah dadah di daerah terbabit, pihaknya akan mempergiatkan lagi tangkapan dan penguatkuasaan dadah.

“Tindakan tersebut dilakukan agar pulau peranginan ini menjadi satu tempat destinasi pelancongan yang aman kepada kepada pengunjung sama ada dari dalam negara mahu pun luar negara,” katanya.

Beliau menambah, kerjasama masyarakat juga sangat diharapkan supaya gejala penyalahgunaan dadah dapat ditangani bersama.

“Operasi mencegah gejala tidak sihat ini akan diteruskan hari ini dan hari-hari berikutnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE