Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof, berkata, kedua-dua suspek berusia 48 tahun dan 31 tahun itu ditahan di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pada pukul 9.15 malam Isnin lalu.

"Suspek menjanjikan kepada mangsa untuk memberikan hak mengeluarkan, memproses, menyimpan dan menjual bauksit dan tanah laterite di Lot 551 Mukim Sungai Karang.

"Mereka mendakwa lot tanah itu kepunyaan Setiausaha Majlis Agama Islam Pahang. Mangsa yang percaya membuat bayaran tunai RM90,000 kepada suspek yang berusia 48 tahun bagi tujuan wang proses," katanya di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, kedua-dua suspek berkenaan kini ditahan reman selama tiga hari di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) di sini dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya. - UTUSAN ONLINE