Duit ditemukan selepas dua lelaki ditahan akibat membuat laporan palsu.

Penipuan ahli perniagaan berusia lingkungan 30-an itu yang bersubahat dengan rakannya untuk berbuat demikian terdedah apabila polis menemukan wang berjumlah RM49,400 di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong dan Batu 9, Cheras, semalam.

Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan ber­kata, suspek yang menja­lankan perniagaan aksesori kereta itu membuat laporan polis kira-kira pukul 2.30 petang, Khamis lalu dan mendakwa kenderaannya dilanggar dua lelaki dari arah belakang di Taman Kinrara, dekat sini.

Katanya, suspek turut men­dakwa sebelum kejadian, dia telah mengeluarkan wang berjumlah RM160,000 untuk membayar gaji pekerja dan kesemua wang itu turut dilarikan penjenayah.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menipu pekerja mereka bagi melangsaikan hutang peribadi berjumlah kira-kira RM100,000. Perintah reman selama empat hari bermula hari ini terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan oleh Mahkamah Peta­ling Jaya. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.