Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Wan Abdul Latiff Wan Jaafar berkata, tiga kilang tersebut dapat dikesan ketika menjalankan operasi bersepadu melibatkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) serta agensi berkaitan.

Walaupun enggan mendedahkan nama kilang tersebut, beliau berkata, ketiga-tiga kilang itu menjalankan operasi kitar semula barangan terpakai lusuh atau plastik, kilang berasaskan besi dan kilang pengurusan sisa pepejal.

“Operasi bersepadu bersama PTG dan MPPG berjaya mengesan tiga kilang haram yang beroperasi di Pasir Gudang. Kita ambil tindakan undang-undang mengikut akta di bawah agensi masing-masing yang terbabit,” katanya pada sidang akhbar khas rumusan insiden gangguan kesihatan Pasir Gudang di Pejabat JAS negeri di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar.

Wan Abdul Latiff berkata, rekod awal menunjukkan terdapat 18 kilang haram beroperasi di kawasan pasir Gudang dan pihaknya akan meneruskan operasi bersepadu bagi menjalankan pemeriksaan.

“Rekod awal diterima mendapati ada 18 kilang haram beroperasi di Pasir Gudang. Kita sudah membuat pemeriksaan di tiga buah kilang dan selepas ini akan ke premis lain yang sudah dikenal pasti.

“Dalam pada itu, PTG juga akan mengambil tindakan mereka ke atas kilang haram yang beroperasi di atas tanah kerajaan termasuk rizab sungai manakala MPPG akan mengambil tindakan atas kesalahan beroperasi tanpa lesen,” katanya. - UTUSAN ONLINE