Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff berkata, dua pemilik Facebook, ‘Arunakiri Nathan’ dan ‘Pandian Sam’ itu akan dipanggil pihak polis dalam masa terdekat ini untuk dirakam percakapan.

“Kita juga akan mengambil keterangan Firdaus Wong berhubung laporan polis dibuat pihaknya.

“Kes masih disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Azmi turut menasihatkan pengguna laman sosial untuk tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah atau hasutan serta ugutan.

“Netizen perlu bijak menggunakan laman sosial bagi mengelakkan berlakunya kes sebegini,” ujarnya.

Selasa lalu, polis mendedahkan sedang mengesan dua pemilik Facebook bagi membantu siasatan kes berkenaan.

14 April lalu, Firdaus membuat dua laporan di Pondok Polis Bangunan Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dekat sini terhadap pemilik Facebook, ‘Arunakiri Nathan’ kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan hasutan sehingga mendorong seorang lelaki dikenali sebagai ‘Pandian Sam’ memberi berunsur ugutan bunuh terhadapnya.-UTUSAN ONLINE