Dalam Op Cantas yang dijalankan pada pukul 12 tengah hari hingga pukul 1.30 petang itu, pelbagai barang dipercayai hasil samun antaranya telefon bimbit, barang kemas dan lain-lain dijumpai di rumah ketiga-tiga suspek berkenaan yang berusia lingkungan 20 hingga 23 tahun itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mustafa Bidin berkata, penahanan suspek dibuat susulan laporan kes samun yang dibuat seorang mangsa pada Isnin lalu.

"Mangsa dipercayai disamun suspek ketika dia sedang berjalan kaki di Taman Perwira di sini.

"Seorang suspek dipercayai telah turun dari sebuah kereta dan telah merampas beg milik mangsa," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah mengaku mereka menyasarkan mangsa dalam kalangan warga asing kerana mudah untuk melakukan samun.

"Suspek dipercayai terlibat dalam tiga kes samun iaitu di sekitar Bukit Tengah dan Batu Kawan.

"Soal-siasat secara komprehensif akan dijalankan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya. - UTUSAN ONLINE