Dalam operasi bermula pukul 2.30 pagi itu, mereka yang ditahan adalah remaja lelaki berusia di antara 16 hingga 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, ketika operasi dijalankan, pihak polis mendapati terdapat beberapa kumpulan yang menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

"Kumpulan motosikal ini didapati mula berlumba dari Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke tempat pusingan U di Pelabuhan Pulau Pinang dengan melakukan beberapa pusingan.

"Polis telah mengekori kumpulan penunggang motosikal ini sebelum kesemua mereka berhenti di kawasan rehat dan rawat Bagan Ajam lalu ditahan," katanya di sini hari ini.

Menurutnya siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek masih bersekolah dalam tingkatan empat serta dua suspek merupakan tukang gunting rambut dan pekerja kedai makan.

"Suspek ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - UTUSAN ONLINE