Difahamkan, seorang daripada suspek turut cedera dibahagian peha kanan selepas ditembak berikutan cuba menyerang anggota polis menggunakan sebatang besi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd. Sabri Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, suspek yang menaiki Toyota Alphard ditahan pasukan peronda dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul kerana didapati berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran Malaysian Medical Association di Jalan Pahang.

“Bagaimanapun, ketika anggota keluar dari kereta, pemandunya bertindak memecut kenderaan menghala ke Jalan Sultan Azlan Shah sebelum berhenti semula di Jalan Chow Kit dan memecut semula ke Taman Dagang, Cheras sehingga terserempak dengan sekatan jalan raya.

“Kumpulan itu tidak mengendahkan sekatan jalan tersebut dan merempuhnya, malah kita terpaksa melepaskan beberapa das tembakan berikutan suspek memandu secara melulu serta berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sebaik sahaja tiba di sebuah kolam memancing, tiga lelaki bertindak meninggalkan kenderaan tersebut, dua daripadanya melarikan diri ke arah hutan, manakala seorang lagi ke arah kolam ikan.

Mohd. Sabri berkata, suspek yang melarikan diri ke arah kolam kemudian mengambil sebatang besi dan cuba menyerang anggota polis yang mengejarnya menyebabkan dia terpaksa ditembak di bahagian peha kanan.

“Hasil pemeriksaan di kenderaan dinaiki suspek, kita menahan dua lagi individu termasuk seorang wanita yang masing-masing berusia 20-an hingga 40-an selain merampas pelbagai peralatan dan beg tangan wanita.

“Kesemua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki untuk kes pecah rumah serta dadah,” jelasnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - UTUSAN ONLINE