Ketiga-tiga tertuduh iaitu Datuk Khor Siang Gin, 49, Thein Ling Yen, 41, dan Tan Siew Feng, 50, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan serentak ke atas mereka dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Nizam Zakaria.

Difahamkan, Siang Gin merupakan Pengarah Urusan, Ling Yen (Pengarah Bahagian Pemasaran dan Jualan) serta Siew Feng (Pengarah Eksekutif) di syarikat pemaju perumahan tersebut.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara niat bersama cuba menipu Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang dengan cara mengemukakan dokumen perjanjian jual beli palsu bagi tujuan mendapatkan pelepasan kuota bumiputera sebanyak 30 peratus bernilai kira-kira RM1,635,870 untuk Projek Perumahan Alila 2.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang daerah Timur Laut, pada 8 Mei 2017.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta boleh dikenakan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Selvaranjini, manakala tertuduh diwakili peguam M. Puravalen dan Oh Choong Ghee.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang beserta seorang penjamin dan menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ketiga-tiga tertuduh membayar wang jaminan itu hari ini. - UTUSAN ONLINE