Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, mereka ditahan untuk soal siasat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah pada pukul 10 pagi semalam.

Menurutnya, bagaimanapun semua pelajar terbabit dilepaskan dengan jaminan polis pada pukul 9 malam semalam.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipukul kerana melaporkan kegiatan pelajar tingkatan tiga berkenaan yang meminta wang daripada mereka tiga minggu lalu.

“Ketiga-tiga pelajar berkenaan dilepaskan dengan jaminan polis semalam dan polis akan menahan beberapa lagi pelajar yang terlibat dalam kejadian itu bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohamad Zainal, salah seorang mangsa mendakwa dibawa ke bilik TV sekolah itu pada pukul 1 pagi dan dibuli oleh lima pelajar yang menutup muka dengan kain.

“Mangsa diberi amaran supaya tidak memberitahu sesiapa kejadian namun keesokannya mangsa membuat aduan kepada pihak sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, pihak MRSM telah memanggil tiga pelajar terlibat untuk disoal siasat

Beliau berkata, MRSM juga memberikan kerjasama penuh kepada keluarga mangsa apabila mereka menghantar sendiri pelajar ke hospital dan membuat laporan polis.

“Kerajaan negeri memandang serius kes buli dalam kalangan pelajar dan berharap semua pihak sekolah atau pengajian tinggi bersama-sama menanggani isu ini,” katanya dalam kenyataan di sini. - UTUSAN ONLINE