Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot nelayan tersebut ditahan pada kira-kira pukul 1.30 petang di 1.79 batu nautika barat daya Kuala Kedah, di sini.

Katanya, terdapat tiga nelayan tempatan iaitu seorang tekong dan dua awak-awak berusia antara 30 hingga 38 tahun di atas bot nelayan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tekong bot tersebut menjalankan aktiviti selain dalam syarat lesen iaitu menunda siput dengan menggunakan sangkar besi sedangkan sepatutnya bot tersebut hanya dibenarkan untuk menjalankan aktiviti pukat hanyut.

“Bot kelas A tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mahmad Faizal, nelayan sama sekali tidak dibenarkan menggunakan sangkar besi kerana boleh memusnahkan habitat hidupan laut. 

Beliau memberitahu, bot tersebut bersama tiga orang nelayan serta kira-kira 300 kilogram hasil tangkapan siput dibawa ke Pejabat Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah, di sini untuk tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, Maritim Malaysia mengharapkan kerjasama daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara.

“Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh menghubungi talian 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE