Kesemua suspek yang berusia lingkungan 25 hingga 55 tahun yang ditahan polis itu turut didapati menjual minuman keras tiruan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah kedai runcit di pangsapuri Kayu Ara, di sini kelmarin.

"Serbuan dilakukan pada pukul 1.30 petang dan berjaya menemukan pelbagai jenis minuman keras dan rokok seludup yang disorok di bahagian belakang serta loteng premis.

"Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai penjaga premis berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Damansara di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zani, serbuan kedua dilakukan pada pukul 3.30 petang di sebuah kedai runcit di Desa Temuan Bandar Damansara Perdana, dekat sini semalam.

Jelasnya, hasil serbuan menemukan pelbagai jenis minuman keras yang sebahagiannya disyaki tiruan dan rokok seludup yang disorok di bawah kaunter pembayaran.

"Menerusi serbuan tersebut, kita menahan dua warga asing yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis tersebut," ujarnya.

Mohd. Zani memberitahu, pihaknya merampas 607 minuman keras pelbagai jenama dan 32 karton rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM10,490.

Tambahnya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Seapark dan Balai Polis Damansara untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. - UTUSAN ONLINE