Laporan itu dibuat oleh Ketuanya, Datuk Jainab Ahmad Ayid di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada pukul 12 tengah hari ini bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat pemimpin DAP itu yang didakwa telah menghina masyarakat Melayu dan bumiputera.

Turut membuat laporan polis di IPD Kota Kinabalu adalah Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Kinabalu diwakili ketua masing-masing iaitu Ir. Abdul Aziz Julkainain dan Fazilah Ahmad.

Ketika ditemui Utusan Malaysia selepas itu, Jainab berkata, ucapan Kula Segaran itu amat bersifat perkauman, malah belum pernah lagi ada mana-mana pemimpin kerajaan yang menuduh Melayu sebagai pendatang di bumi Malaysia.

“Inilah masalahnya pemimpin yang tidak mengikut Perlembagaan sehingga menuduh orang Melayu sebagai pendatang, bercakap tidak mengikut akal fikiran, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya dan kini menimbulkan kemarahan orang Melayu.

“Kami sebagai ahli Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO mahu beliau disiasat dan tindakan diambil demi mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bumiputera di negara ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE