Menurut sumber, pengarah syarikat bergelar Datuk berusia 44 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari dan seorang lagi pengarah syarikat berusia 51 tahun ditahan kira-kira sejam kemudian.

Seorang lagi suspek wanita yang juga ejen insurans berusia 29 tahun ditahan kira-kira pukul 2 petang.

"Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, di sini ketika hadir memberi keterangan," katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, ketiga-tiga suspek disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat yang kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham.

Sumber turut memberitahu, ketiga-tiga suspek juga disyaki terlibat dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek esok di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini. - UTUSAN ONLINE