Dalam serbuan kira-kira pukul 1.50 pagi itu, pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menahan ketiga-tiga suspek yang berusia antara 21 hingga 39 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidil Bolhassan, tangkapan tersebut hasil maklumat awam dan risikan polis yang dilakukan sebelum itu.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan satu kotak warna hitam yang mengandungi 11 peket plastik lutsinar dibaluti pita pelekat warna putih berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Dadah yang seberat kira-kira 11.54 gram itu diletakkan di atas meja televisyen di dalam bilik hotel itu.

“Nilai pasaran bagi kesemua dadah yang dirampas sebanyak RM1,500,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini sebentar tadi.

Tambahnya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek mengaku memiliki dadah berkenaan.

“Mereka mengaku mendapatkan dadah itu menerusi pembelian menggunakan deposit tunai.

“Ketiga-tiga suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan di lokap Balai Polis Siburan dan Balai Polis Beratok untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39a(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE