Ketiga-tiga suspek berusia antara 25 dan 55 tahun itu ditahan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak dan wanita di Bukit Beruntung Hulu, Selangor.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Lim Bak Phai berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik dan penjaga pusat jagaan terbabit.

Ujarnya, penahanan itu dilakukan susulan laporan polis mengenai seorang remaja wanita yang hamil anak luar nikah dan tinggal di pusat terbabit.

“Remaja terbabit dikatakan telah melahirkan bayi di pusat jagaan tersebut pada 20 Ogos lalu selepas dihantar ibu bapanya ke pusat tersebut.

“Mangsa dikatakan telah membuat bayaran sebanyak RM4,000 pada mulanya. Bagaimanapun setelah mangsa bersalin, remaja terbabit gagal membuat bayaran susulan sebanyak RM5,500 dan menyebabkan pusat jagaan tersebut menyerahkan bayinya kepada keluarga angkat tanpa kerelaannya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lim memberitahu, bayi kepada wanita terbabit bagaimanapun dipulangkan semula oleh keluarga angkatnya kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Tambahnya, selain mangsa, turut diselamatkan ialah sembilan lagi remaja wanita hamil yang tinggal di pusat jagaan terbabit.

“Sehubungan itu, kita turut merampas dokumen pendaftaran , sebuah komputer dan komputer riba serta enam telefon bimbit.

“Sembilan lagi remaja wanita yang berada di pusat terbabit telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Sehubungan itu, kesemua suspek akan direman esok di Mahkamah Kuala Kubu Bahru untuk siasatan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) 2007. - UTUSAN ONLINE