Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, kesemua suspek berusia 35 hingga 40 tahun itu ditahan dalam tangkapan berasingan antara pukul 9 malam sehingga 1.30 pagi di sekitar Gerik semalam.

Katanya, ketiga-tiga mereka kini direman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan.

"Polis telah memperoleh perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah di Mahkamah Majistret Gerik hari  ini.

"Motif kejadian sedang disiasat daripada semua sudut termasuk masalah keluarga dan perniagaan," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa yang lengkap berpakaian ditemukan orang awam dengan tiga 
kesan tembakan di kepala, dada dan perut.

Selain mangsa, turut dijumpai berhampiran mayat lelaki itu adalah tiga butir kelongsong peluru dan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE