Kewujudan stor terbabit dibongkar oleh pasukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Kubor yang membuat operasi serbuan dan menggeledah gudang tersebut, Sabtu lalu.

Dalam operasi kira-kira pukul 7.30 petang, JKDM merampas sebanyak 9,450 karton mengandungi 1,890,000 batang rokok bernilai RM151,200, dengan jumlah cukai terlibat dianggarkan mencecah lebih RM1 juta.

Pengarah Kastam negeri, Mohd. Rakbi Mat Saud berkata, dalam masa sama, pihaknya turut menahan pemilik gudang tersebut, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang turut berada di lokasi serbuan.

Kata beliau, lelaki itu dalam keterangannya mendakwa gudang tersebut telah disewakan kepada seorang penyewa dari Pulau Pinang dan dia tidak tahu-menahu gudang miliknya itu dijadikan stor penyimpanan rokok seludup.

“Dia turut menunjukkan salinan penyata bank yang dikirim kepadanya oleh penyewa sebagai bukti pembayaran sewa premis. Berdasarkan penyata yang ada, stor rokok haram tersebut beroperasi tidak sampai setahun.

“Lelaki itu dibebaskan selepas diambil keterangan. Namun, kita akan panggil dia bila-bila masa untuk memberi keterangan lanjut bagi membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM, di sini hari ini.

Mohd. Rakbi dalam pada itu memberitahu, modus operandi penyeludup bagi mengaburi mata pihak berkuasa kali ini ialah mengisi semula rokok-rokok terbabit ke dalam kotak lain yang kosong tanpa tulisan dan tidak kelihatan seperti kotak rokok.

Selain itu katanya, kejayaan operasi terbaharu itu merupakan antara rampasan terbesar oleh pihaknya setakat enam bulan pertama tahun ini selain satu lagi rampasan rokok seludup dari bot pancung di Tumpat pada 21 Jun lalu.

“Jumlah rokok tersimpan di gudang ini sebenarnya lebih kurang sama dengan muatan rokok dalam bot yang diserbu ketika operasi terdahulu. Jadi kita tidak tolak kemungkinan rokok-rokok ini juga diseludup menggunakan jalan laut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967. - UTUSAN ONLINE