Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 malam itu, kanak-kanak berkenaan, Muhammad Nur Rashdan Muhammad Rizal disahkan meninggal dunia apabila tiba di Hospital Jengka akibat kecede­raan yang dialaminya.

Suami wanita berkenaan, Muhammad Rizal Jusoh, 42, berkata, sebelum kejadian, dia sedang menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 sambil menjaga arwah yang ketika itu tidur di hadapannya.

Bagaimanapun, menurutnya, isterinya berusia 31 tahun yang ketika itu baharu selesai membaca al-Quran meminta izin membawa mangsa masuk tidur di dalam bilik.

“Selang beberapa minit, saya terdengar suara anak merengek lemah dan berasa pelik sebelum masuk ke bilik untuk memeriksa. Menggeletar badan saya apabila melihat isteri sedang mengelar leher anak menggunakan pisau,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Muhammad Rizal membe­ritahu, dia menolak isterinya yang langsung tidak melawan sebelum memangku mangsa untuk dibawa ke Hospital Bandar Jengka dan apabila tiba di situ doktor mengesahkan anak bongsunya itu sudah meninggal dunia.

Selepas kejadian berkenaan, ujar Muhammad, isterinya sempat bertanya apa yang berlaku dan siapa membunuh anak lelakinya.

Menurutnya, dia percaya kejadian itu dilakukan tanpa di­sedari oleh isterinya kerana suspek seorang yang penyayang dan tidak pernah berkelakuan mengikut emosi.

“Kalau saya marah anak, dia (isteri) akan marah saya balik, itu sebab saya tidak percaya dia buat begitu. Kalau dia sedar, dia tidak mungkin buat begini sebab saya tahu bagaimana dia menjaga anak,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata hasil perkahwinan mereka.

Tambah Muhammad Rizal, isterinya sering termenung dan kemurungan sejak awal Mei lalu dan dia pernah membawa wanita itu untuk berjumpa pakar perubatan Islam kerana bimbang terkena gangguan makhluk halus.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Othman Na­nyan berkata, berdasarkan siasatan awal, suspek tiada masalah atau rekod sakit mental dan dia dipercayai mengalami halusinasi sebelum mengelar leher anak bongsunya.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.