Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, suspek berusia 24 tahun yang juga penagih dadah mengamuk dan mengambil parang di dapur rumah mereka sebelum mengacukan kepada ibunya yang berusia 50 tahun.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, bimbang tentang keselamatannya, mangsa melarikan diri sebelum membuat laporan polis.

Menurut beliau, suspek sebelum ini dilaporkan beberapa kali mengamuk dan meminta duit daripada ibunya dipercayai untuk membeli dadah namun ini kali pertama melibatkan penggunaan senjata.

“Selepas kejadian itu juga, suspek yang turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah melarikan diri dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan ketika ini.

“Polis turut merampas parang yang digunakan dalam kejadian itu untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noorzainy, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat. - UTUSAN ONLINE