Menurutnya, tiada belas kasihan terhadap kakitangan terlibat dan mereka yang ditahan akan dihadapkan ke mahkamah untuk dikenakan tindakan undang-undang.

“Saya dan jabatan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, sama ada individu mahu pun syarikat dalam menangani masalah kebanjiran PATI di negeri ini.

“Kita akan mengambil tindakan tegas dengan mengheret ke mahkamah kakitangan yang mendalangi kebanjiran PATI di negeri ini sehingga mencalarkan prestasi dan nama baik jabatan di mata masyarakat. Tiada lagi belas kasihan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu susulan tangkapan 11 pegawai dan anggotanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di empat lokasi berasingan iaitu Ibu Pejabat Imigresen Sarawak, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Pejabat Imigresen Pending di sini, serta Pusat Tahanan Depot Semuja, Serian pada Rabu lalu.

Suspek terdiri daripada enam wanita dan lima lelaki berusia antara 33 hingga 53 tahun yang kini masih direman, ditangkap kerana dipercayai menerima wang rasuah antara RM200 hingga RM10,000 bagi melindungi warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan dan permit pekerjaan yang sah.

Dalam pada itu, Ken berkata, bagi memastikan negeri ini bebas daripada kebanjiran PATI, pihaknya telah melancarkan Op Ikrar (Sapu) yang mana berjaya memberkas 189 warga asing yang bekerja secara haram di sebuah tapak pembinaan di Balingian, Mukah kelmarin.

“Tangkapan terbesar yang dicatatkan tahun ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk maklumat menerusi risikan yang dijalankan,” katanya.

Menurut Ken, dalam operasi itu, seramai 367 individu diperiksa dan 189 orang didapati telah melanggar Akta dan Peraturan-Peraturan Imigresen, iaitu 105 lelaki dan tiga wanita warga Indonesia, 16 lelaki (China), seorang lelaki (Sri Lanka), 33 lelaki (Filipina) dan 25 lelaki (Bangladesh).

Katanya, 119 lelaki dan dua wanita warga asing terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah ketika berada di negeri ini.

Tambahnya, satu saman saksi turut dikeluarkan kepada wakil majikan bagi membantu siasatan dan kesemua PATI yang ditangkap dihantar ke Depot Tahanan Pati Imigresen Semuja, Serian untuk siasatan lanjut. - UTUSAN ONLINE