Difahamkan, kesemua individu terbabit terdiri daripada setiausaha syarikat, penasihat dan perunding-perunding syarikat yang terlibat dalam projek berkenaan.

Menurut sumber, pihaknya turut menggeledah sembilan lagi syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.


Katanya, SPRM sedang menyiasat sama ada syarikat-syarikat yang dilantik kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjalankan kajian berhubung projek terowong dasar laut tersebut mempunyai pengiktirafan ataupun tidak.

“Kita difahamkan kerajaan telah menetapkan piawaian kepakaran untuk menjalankan semua kajian kebolehlaksanaan termasuk projek terowong dasar laut berkenaan dan kita perlu lihat sama ada pakar-pakar yang dilantik untuk membuat kajian tersebut mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut itu.



“Tidak kira sama ada pakar-pakar yang dilantik itu adalah terdiri daripada kerajaan mahupun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalankan kajian terowong dasar laut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat secara terperinci berhubung pembayaran penganugerahan pelaksanaan kajian terowong dasar laut tersebut.



Katanya, pasukan penyiasat memerlukan masa untuk menjalankan siasatan berikutan ia melibatkan aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam.



“Saya minta semua pihak berikan ruang dan peluang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan, kita masih dalam proses merakam percakapan saksi-saksi penting yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan ini.



“Kita akan panggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan,” ujarnya. UTUSAN ONLINE