Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Chen Keng Seng, 63, dikhuatiri lemas, manakala dua rakannya, Md. Saad Bulat, 63, dan Chen Ah Bee, 37, diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Rozali Mohd. Said berkata, bot dinaiki ketiga-tiga mangsa itu dipercayai dalam perjalanan untuk memancing dari perairan Kuala Perlis, dekat sini.

“Bot tunda tersebut milik Syarikat Pengangkutan Bersatu Langkawi itu pula dalam perjalanan dari Dermaga Tanjung Lembong, di sini menuju ke Kuala Kedah.

“Maritime Rescue Sub-centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang tertumpu di kawasan kejadian dengan sektor pencarian berkeluasan 27.78 kilometer melibatkan pelbagai aset,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Rozali, pihaknya telah menyalurkan maklumat kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membantu.

“Kita juga menyeru orang ramai khususnya komuniti maritim yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 atau talian MERS 999,” katanya. - UTUSAN ONLINE