Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Mayaki berusia 36 tahun turut mengalami kecederaan serius di bahagian kepala selain tetakan di bahagian leher, pinggang dan pergelangan kaki kanannya.

Lebih kejam pergelangan tangan mangsa yang putus gagal ditemukan selepas anggota badan bapa kepada dua orang anak itu dipercayai dibawa lari oleh kesemua suspek selepas kejadian.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, isteri mangsa dikenali sebagai Kasniya berusia 33 tahun turut mengalami kecederaan pada tangan kirinya ketika cuba menghalang suspek-suspek itu menyerang dia dan dua anak lelaki mereka yang berusia lapan dan 13 tahun.

Bagaimanapun, ujar beliau, remaja dan kanak-kanak itu tidak mengalami kecederaan selepas berjaya menyelamatkan diri dengan lari bersama ibu mereka ke arah kebun getah yang terletak di hadapan rumah.

“Berdasarkan siasatan awal, empat suspek bertopeng muka yang menaiki motosikal telah datang ke rumah mangsa. Tiga daripadanya bertindak memecah masuk kediaman itu dan terus menyerang mangsa dengan parang.

“Kejadian ini dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati salah seorang suspek terhadap mangsa kerana enggan menolongnya meningkatkan kelajuan motosikal.

“Lelaki itu didakwa telah pergi ke rumah mangsa beberapa kali sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohd. Ismail, mangsa yang turut bekerja sebagai penoreh getah kini berada dalam keadaan stabil, namun masih lemah dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Kata beliau, polis telah berjaya menahan seorang daripada suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian itu dan giat memburu rakannya.

“Siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE