Selain itu, difahamkan ke­tegasan SPRM melalui Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun akan mendedahkan banyak perkara tersembunyi di sebalik kegiatan haram itu.

Menurut sumber, komitmen kedua-dua ketua agensi penguat kuasa itu 'menggerunkan’ sindiket judi yang dikatakan memperoleh pendapatan berbi­lion-bilion ringgit setahun.

“Turut akan terdedah ialah bagaimana modus operandi sindiket memberikan rasuah kepada anggota-anggota agensi penguat kuasa bagi melindungi jenayah mereka,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sumber itu mendedahkan, melalui siasatan dijalankan, sin­diket bimbang perbuatan mereka melakukan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam pelbagai bidang perniagaan akan terdedah.

“Tauke-tauke judi menutup kegiatan mereka dengan melibatkan diri dalam dunia korporat bagi tujuan membersihkan pendapatan kotor melalui perniagaan bersih serta menggaburi mata rakyat dan juga penguat kuasa” katanya.

Selain itu, kata sumber tersebut, bagi melindungi kegiatan haram mereka, tauke-tauke ter­babit yang ada antaranya bergelar Tan Sri dan Datuk Seri telah menggembangkan empayar perniagaan dalam pelbagai cabang perniagaan termasuk dalam industri pengilangan besi, makanan dan hiburan keluarga.

“Taktik ini sudah dikesan sekian lama. Oleh itu apabila SPRM dan PDRM mengisytiharkan perang ke atas kegiatan judi haram, individu dan sindiket terlibat mula gelisah kerana ia akan mengakibatkan pendapatan jutaan ringgit terjejas. Ironinya apabila pendapatan sampingan bulanan penguat kuasa bernilai jutaan ringgit akan turut terjejas,” katanya.

Mengenai tindakan sindiket menyogok anggota agensi pe­nguat kuasa, difahamkan dalam beberapa tindakan oleh pihak berkuasa ke atas pengusaha pusat hiburan mereka menemukan senarai pembayaran kepada anggota berkenaan secara bulanan dari peringkat bawahan termasuk bayaran penyelesaian bil hiburan, minuman keras serta gadis penghibur mencecah ribuan ringgit semalam.

Dikatakan sindiket sanggup mengeluarkan 'modal’ antara RM10 juta hingga RM15 juta sebulan bagi tujuan memberi rasuah anggota-anggota agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) demi memastikan kegiatan haram mereka tidak diganggu.

Menjawab satu soalan, sumber itu menjelaskan, kebiasaannya wang rasuah tersebut akan diserahkan kepada orang tengah yang akan menguruskan pengagihan kepada anggota penguat kuasa.

“Apa yang menarik 'orang te­ngah’ ini mengutip 'ufti’ dalam jumlah yang besar tetapi hanya menyerahkan jumlah kecil sahaja kepada anggota-anggota terlibat, ibarat mereka makan buah tetapi penguat kuasa hanya dapat getah­nya,” katanya.

Difahamkan kegiatan judi ha­ram dan pemerdagangan manusia ini menjadi tumpuan di tiga bandar besar iaitu Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.Ini kerana industri ratusan juta ringgit pasti mendapat payungan besar sehingga peringkat tertinggi pengurusan penguat kuasa negeri

Sumber itu percaya, ketegasan SPRM dan PDRM telah memungkinkan bukan sahaja sindiket malah pegawai dan anggota penguat kuasa yang bersekongkol dengan mereka juga tidak berpuas hati.

“Oleh itu mereka berpakat melaksanakan kerjasama melalui apa yang dipanggil strategi sindiket lautan biru, justeru tidak hairanlah bagi 'menyerang balas’ apa yang bakal dilakukan oleh SPRM khususnya, maka tohmahan dilemparkan dengan tujuan mematahkan semangat agensi tersebut,” ujarnya.