Supardi Sama, 39, mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Ahmad Bazli turut mengarahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 15 April lalu dan dia turut berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut pertuduhan, Supardi yang bekerja sebagai buruh didakwa telah melakukan perbuatan khianat dengan api dengan niat hendak atau diketahui kemungkinan akan menyebabkan kerosakan harta benda iaitu sebuah motosikal jenis SYM warna putih dan biru bernilai RM3,000 di Kampung Belanga, Kuala Krai dekat sini, kira-kira pukul 10 pagi pada 14 April.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh meminta wang RM50 daripada ibunya, Mek Mas Awang Long, 71, namun warga emas itu tidak mempunyai wang untuk diberikan.

Tertuduh mengambil tukul besi dan mengetuk beberapa bahagian motosikal milik adiknya yang terletak di hadapan rumah sebelum ditegah oleh ibunya.

Wanita itu kemudian menolak motosikal itu ke belakang rumah sebelum dia terhidu bau getah terbakar dan mendapati motosikal itu dibakar tertuduh. - UTUSAN ONLINE