Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya kini sedang mengenal pasti semua individu yang dilaporkan melakukan provokasi serta mereka yang dipercayai mencederakan Syed Saddiq termasuk seorang Exco Pemuda UMNO yang dikenali sebagai Papagomo.

“Kita telah terima laporan dibuat Syed Saddiq di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya dan kini sedang diteliti Ibu pejabat Polis Daerah Kajang, lokasi berlakunya serangan dan provokasi itu.

“Selain itu, kita juga akan merujuk kecederaan dialami menteri tersebut kepada pihak hospital berikutan dakwaannya dicekak pada bahagian leher oleh seorang individu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini berkata, dalam kejadian tersebut, beliau di­serang oleh seorang Exco Pemuda UMNO yang didakwa telah mencekak lehernya dengan kuat dan mengugutnya supaya keluar dari kawasan berkenaan.

‘‘Apa yang berlaku adalah salah kerana melibatkan sera­ngan fizikal dan saya serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

“Tiada kesan kecederaan akibat tindakan tersebut tetapi saya akan pergi ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan susulan,” katanya.

Dalam pada itu, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris menerusi ciapan dalam akaun Twitter beliau tidak terkejut dengan laporan polis tersebut kerana Syed Saddiq akan mencari orang yang boleh dipersalahkan dalam insiden pagi tadi itu.

“Kalau aku tahu dia nak buat report polis, aku cium dia tadi,” selorohnya.