Suspek utama yang dikenali sebagai Muzaini, 33, itu ditahan bersama empat suspek lain yang turut didakwa terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, kesemua suspek tersebut direman selama empat hari dan berakhir esok.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu seorang lagi suspek dikenali sebagai Mie Tomoi yang diupah bagi melakukan perbuatan itu.

“Secara keseluruhan kita menahan lima suspek. Kita masih memburu Mie Tomoi dan yakin dapat memberkasnya dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Noor Mushar, hasil siasatan mendapati, Muzaini dan Mie Tomoi itu juga terlibat dalam kes mencederakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JHEAIPs), Dr. Hazman Hassan dalam kejadian September tahun lalu.

“Muzaini adalah suspek utama dalam kes bakar kereta Mohd. Asri dan mencederakan Hazman. Dia (Muzaini) juga yang bertanggungjawab membayar upah kepada Mie Tomoi dalam dua kejadian berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, polis menahan seorang lelaki yang disyaki bertanggungjawab membakar kereta Mohd. Asri di sebuah rumah di Kampung Jelempok, Arau dekat sini.

Ketika mengesahkan perkara itu, Noor Mushar berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengaku terlibat membakar kereta Mohd. Asri bersama seorang lagi lelaki setelah diupah dengan bayaran RM500.

Dalam kejadian pada 22 Mac lalu, kereta rasmi Mohd. Asri iaitu jenis Honda Accord rosak setelah disyaki dibakar oleh pihak tertentu semasa diletakkan di kediamannya di Jalan Persiaran Wawasan di sini pada pukul 5.45 pagi.

Berikutan itu, bahagian enjin kereta Honda Accord berwarna hitam tersebut terbakar sepenuhnya. Turut terbakar, tayar hadapan sebelah kiri kenderaan tersebut manakala cermin belakang dan depan turut pecah.

Pada Januari lalu, penduduk negeri ini dikejutkan dengan isu pemecatan 25 orang imam kariah manakala lebih 10 lagi ditukarkan ke tempat lain tanpa alasan.- UTUSAN ONLINE