Suspek berusia 36 tahun itu merupakan individu ke tujuh yang ditahan dalam siasatan kes ini.

Sumber memberitahu, suspek yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat percetakan dipercayai merupakan seorang daripada ejen yang mendapatkan pembeli sijil pentauliahan palsu tanpa perlu menghadiri kursus.

Ujarnya, suspek tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira pukul 8.40 malam semalam.

“Walau bagaimanapun, pasukan penyiasat masih mengenal pasti dalang utama sindiket ini yang bertanggungjawab untuk mencetak sijil-sijil palsu tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah sumber itu, siasatan juga mendapati terdapat orang-orang kenamaan dengan gelaran turut membeli sijil-sijil pentauliahan palsu tersebut.

“SPRM tidak mengambil ringan perkara ini kerana terdapat orang-orang kenamaan turut mendapatkan khidmat sindiket ini untuk mendapat sijil-sijil palsu.”

“SPRM juga akan memanggil mereka sekiranya perlu bagi membantu siasatan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut berhubung orang-orang kenamaan yang dipercayai telah membeli sijil-sijil pentauliahan palsu daripada sindiket ini.

Menurutnya, pasukan penyiasat sedang meneliti dokumen-dokumen yang dirampas dalam beberapa siri operasi yang dilancarkan sejak 15 April lalu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi yang akan ditangkap berkaitan dengan siasatan kes ini.

“Sijil pentauliahan palsu ini boleh diperoleh dengan bayaran antara RM2,000 hingga RM16,000.00 bergantung jenis sijil dan universiti swasta.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, “ katanya. - UTUSAN ONLINE